Pages

Wednesday, 30 November 2011

pohon cinta~~~~


“Allahuakbar, Allahuakbar, Lailahailallah.” Tangannya pantas mencapai telefon bimbit di sebelah, mematikan nada deringan. Lagu Maher Zain itu segera terhenti. Beberapa saat berlalu, matanya masih jua tertutup.
Hati digagahkan, tangan segera meraba di dalam kegelapan, mencari sesuatu. Dia duduk di atas katil itu, sambil memegang buku Bidayatul Hidayah, karya al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali R.A dan membuka muka surat yang dikehendaki.
Subuh yang hening itu dimulakan dengan doa dan puji-pujian bagi yang selayaknya menerima pujian, Allah S.W.T.
Ahlam segera bangkit, bersiwak, dan mempersiapkan diri untuk beribadah. Subuh hanya akan tiba kurang setengah jam sahaja lagi.

Dengan lafaz bismillah, membaca surah an-Nas sebelum memulakan solat, dia hanyut di bawah kelemahannya, menghadap Yang Maha Kuasa.

Pagi itu cerah seperti biasa, awan dan matahari juga seperti biasa. Semua yang hidup itu pasti sedang bertasbih, memuji kebesaran Allah S.W.T. Selepas Isyraq, dia menarik nafas, melangkah menuju ke kelas. Pusat Asasi UIAM, PJ hening ketika itu. Sudah menjadi kebiasaanya, dia bahagia.
Tanpa disedari, ada yang melihat dari jauh. Hanya beberapa langkah dibelakangnya.
“Ahlam.” Tegur yang melihat itu.
Ahlam tidak segera menoleh, walaupun langkahnya terhenti. Dia beristighfar, kerana dia tahu suara itu milik seorang 'brother,' panggilan yang digunakan untuk pelajar lelaki di situ.
“Assalamualaikum, Ahlam.” Tegur suara itu lagi.
Pemilik suara itu berkira-kira, mungkinkah Ahlam akan pergi meninggalkan dia begitu sahaja, atau sudi mendengar bicaranya.
Dia melihat sekeliling, hanya ada beberapa orang rakannya tiga langkah daripada dia. Dia tidak mahu bersendirian dengan Ahlam. Mestilah, haruslah, pertemuan itu berteman.
Ahlam hanya menjawab salam di dalam hati. Dia menutup bahagian bawah mukanya dengan lengan baju kurungnya, lalu tunduk seraya berkata.
“Kenapa ya, perlu berjumpa di waktu begini? Ana ada kelas.”
“Bukankah kelasmu hanya akan bermula satu jam saja lagi? Masih ada waktu."
"Asif.. ana terpaksa menganggu seketika. Ana tidak ada nombor anti untuk bertanya perkara ini.”Faqeh menjawab.
Dia terdiam sesaat. “Sudahkan sister Farah berjumpa anti?” Tanyanya.
“Sudah, dan jawapan sudah diberikan.” Ahlam menjawab tegas.
Hatinya bergolak, perasaan bercampur baur. Dia tahu fitnah tidak akan timbul kerana Faqeh berteman, tapi mana mungkin dia berdiri di situ walaupun sesaat dua kerana hanya dia seorang di pihak muslimah.
Dia segera berlalu. Tidak betah berlama. Faqeh terkejut tapi tidak menghalang.
“Salahku juga.” Fikirnya.
*****
Lalu dia teringat pertemuannya dengan sepupunya, Farah, semalam.
“Allah mengetahui segala sesuatu." Farah memulakan bicara.
“Faqeh, dia menolak. Sudah dua kali kamu cuba taqdim, cukuplah.” Tambah Farah.
“Tapi aku yakin dia jodohku.” Tegas Faqeh.
“Apakah keyakinanmu itu bersandarkan Allah? Bagaimana pula dengan keyakinannya menolak kamu? Adakah itu cuma permainan di mata? Faqeh, dia sudah istikharah. Dia hanya memaklumkan belum tiba masanya saja. InsyaAllah, lepas habis pengajian, cubalah kamu mengkhitbahnya sendiri.” Balas Farah.
“Aku juga sudah istikharah, dan ternyata dia jawapanku.” Kata Faqeh.
Pelajar Asasi Kejuruteraan itu sukar menerima hakikat.
“Istikharah tidak bermakna jika kamu berat hati pada satu jawapan sahaja. Kamu harus bersedia untuk pilihan yang lain. Itu salah kamu di situ.”
Farah memandang sayu sepupunya itu.
“Hanya satu semester saja lagi. Habiskanlah pengajianmu, biarkan dia juga belajar. Kamu itu bukan setakat seorang pelajar, tapi seorang Muslim. Tanggungjawabmu lebih berat, tanamlah dulu sifat taqwa, insya-Allah, perjalananmu akan dipermudahkan.”
Kata Farah menutup bicara. Dia berlalu meninggalkan Faqeh dan temannya di kafeteria.
Faqeh menoleh ke arah temannya, meminta kekuatan walaupun sedikit.
'Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.' [Q.s. An-Nisa:19 ]
Ujar temannya, memahami maksud pandangan Faqeh.
Faqeh mengusap muka dengan kedua tapak tangannya, mengucapkan terima kasih lalu beransur ke musolla.
Dia hendak bertaubat, kerana walau sekejap cuma, dia sudah lupa tanggungjawab yang lebih utama, iaitu menjadi hamba kepada Pencipta yang Agung.
*****
Farah tiba di dalam bilik, meletakkan beg di atas meja, dan mengingat kembali peristiwa ketika dia menyampaikan hajat Faqeh buat kali kedua kepada Ahlam.
“Petunjuk awak adalah dia bukan?” Tanya Farah.
Ahlam tenang, lalu menganggukkan kepala.
“Tapi kenapa harus menolak?” Tanya Farah lagi.
Ahlam tersenyum, lalu menjawab.
“Belum tiba masanya. Kami masih muda, iman kami masih baru bercambah.”
Suasana senyap seketika.
“Cinta itu sempurna seperti pohon, akarnya tertanam dalam hati, batangnya kukuh dalam kata, buahnya terkandung dalam perbuatan. Persis seperti iman, tetap dalam hati, terucap dalam lisan, dan dibuktikan oleh amal. Pernah saya terbaca ayat itu.” Tambahnya lagi.
“Awak cintakan dia?” Farah menambah persoalan.
“Cintaku kepada Allah lebih penting, dan juga Rasulku, adakah awak hendak saya melupakan itu?”Ahlam menjawab dengan pertanyaan.
“Boleh saja kalau kamu bertunang dahulu sementara belajar, dan bernikah selepas tamat.” Farah mengutarakan pandangan.
“Pertunangan itu bagi saya, adalah untuk mengenali satu sama lain. Baguslah kalau ramai yang memikirkan begitu. Tapi saya sendiri yakin dengan pilihan Allah, biarlah saya mengenali jodoh saya selepas kami dinikahkan.”
Terang Ahlam. Farah senyap.
“Aduhai Farah, ingatkan hatimu, ingatkan nafsumu, bahawa kematian itu dekat sekali. Mungkin ramai berkata, kita berada di sini untuk menuntut ilmu. Tapi bukan itu semata-mata. Seperti yang ku katakan, cinta itu seperti pohon, laksana iman.
Teguhkanlah iman dulu, siramilah dengan ketakwaan, barulah sempurna cintamu itu. Marilah kita letakkan kepercayaan kepada Allah, saya yakin, Dia akan menjaga hati kami berdua.
Insya-Allah, setelah tamat belajar, barulah mendapat keberkatan. Habiskan tanggungjawab kita sebagai pelajar dan seorang anak dahulu.”
Ahlam berkata sambil memegang tangan Farah. Dia senyum, hatinya beristighfar.
Farah membalas senyuman Ahlam, lalu mengangguk tanda faham.
Dia tahu, ramai yang kalah dalam perjuangan atas nama cinta. Ahlam menjaga maruahnya sebagai seorang muslimah dengan rasa malunya, dengan kesabarannya.
Dia tahu, kalau ada jodoh, pasti akan bersatu jua. Lalu dia juga beristighfar di dalam hati, kerana dia tahu dan dia pasti, hatinya selalu sahaja leka namun Allah itu Maha Pengampun. Maka dia memohon keampunan...
tiada manusia yang sempurna..apabila kt terleka dan menyedarinya..maka segera la memohon keampunan..sesungguhnya ALLAH maha pengampun...^-^..

awassss...berhati2 ketika berharap!


"Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?"
Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.
Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.
Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.
Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.
Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapan tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?
Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.
Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.
Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.
Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.
Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.
Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?
Harapan tak tertunai, bahkan iman terungkai-rungkai ikatannya.
"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda."
"Hanya aku seorang yang boleh diharapkan."
Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.
Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?
Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.
Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.
Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.
Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.
Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.
Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.
Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.
Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.
Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.
Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?
Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.
"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan."
Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.
Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.
Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.
Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.
Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.
Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.
Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.
Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.
"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." -Al-Insyirah: 7-8
Wallahua'lam....:)....